top of page

PEMBUKA KATA

bismillah-png-9.png
​

Kehadapan sahabat ilmuan dan tuan/puan yang dirahmati Allah SWT,

 

     Maju mundurnya sesebuah pusat pendidikan bergantung sepenuhnya kepada kepimpinan dan komitmen Pengetua dan guru-gurunya. Ibubapa dan masyarakat keseluruhannya boleh membantu mengikut kemampuan dan tahap pengetahuan masing-masing. Pengalaman dan ilmu atau kemahiran yang ada pada seseorang Pengetua itu akan dapat menentukan sama ada hala tuju,  perancangan dan pelan tindakan sesebuah sekolah itu dapat dirangka dengan betul dan berkesan dalam membangunkan dan mengisi keupayaan insaniah, intelektual, keimanan, jasmani serta ketahanan kendiri. Seharusnya dengan sokongan barisan guru yang komited, sekolah ini mampu untuk memenuhi setiap aspirasi ibubapa yang ingin melihat anaknya berjaya menguasai ilmu moden untuk tujuan kehidupan di dunia dan ilmu ukhrawi untuk tujuan akhirat dan menjadi khalifah Allah dimuka bumi ini.

​

     Ibubapa yang menghantar anak ke sekolah ini sudah tentu mengharapkan pulangan yang setimpal dengan pelaburan yang dikeluarkan. Oleh itu, sebagai pemimpin sekolah saya akan berusaha menentukan kualiti pendidikan di sini setanding dengan sekolah-sekolah terbaik di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau swasta. Harapan kami, semoga ibubapa dapat berkerjasama dalam apa jua program sekolah dan bersedia untuk menjadi rakan kongsi yang konstruktif dalam sebuah pasukan kerja yang komited.

​

     Kearah merealisasikan harapan bersama ini, faktor akhir yang menentukan kejayaan kita ialah komitmen anak-anak terhadap tanggungjawab kendirinya khusus dalam menjaga sahsiah atau disiplin, menguruskan masa dengan baik, minat terhadap bidang tahfiz serta akademik, bersedia berkorban masa dan tenaga, sanggup meninggalkan zon hidup selesa, sanggup mengawalkan diri dari terperangkap dengan pengaruh media sosial, sentiasa bersabar dengan ujian serta kepayahan, boleh menghormati ibubapa serta guru atau orang lebih tua, menjaga ibadah khususnya solat, tahu tentang matlamat hidup, bersyukur dengan anugerah Allah, mempunyai niat yang ikhlas untuk mencari ilmu dunia serta akhirat, menjaga ukhwah sesama sendiri atau rakan, mengamalkan ‘big thinking’ iaitu bukan saja di luar kotak tetapi tanpa kotak, bersikap positif terhadap peraturan ketat sekolah dan menjadikan usaha mencari ilmu itu adalah satu jihad serta satu ibadah.

​

     Oleh itu, sekiranya kumpulan sasaran kita iaitu pelajar dapat memahami dan menghayati nilai-nilai tersebut dan menjadikannya sebagai satu falsafah hidup, tidak mustahil anak yang lemah pelajarannya atau kurang berdisiplin atau kurang bermotivasi akan menjadi anak yang hebat dan bakal menjadi pemimpin ulul albab.

 

“ BERKHIDMAT DUNIA DAN AKHIRAT”

“MAN JADDA WAJADA”

Sekian, Wassalamualaikum wbt.

Sign Pengetua.png

Shamsuddin bin Said,

Pengetua, Maahad IMTIYAZ Integrasi Ilmuan Ulul Albab (ILMU)

bottom of page