top of page

MAJLIS PERPISAHAN DAN PENUTUP

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah yang telah menemukan para hambanya atas sebab-sebab yang mulia dan bermanfaat.

Dalam potongan sebuah hadith Nabi Muhammad ﷺ dari Abu Hurairah R.A. mengenai tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di hari yang tidak ada naungan melainkan naungan-Nya (hari Kiamat), salah satunya :

وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ، اجْتَمَعَا عَلَيْهِ، وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ

Maksudnya : ...dan dua orang lelaki yang saling menyayangi kerana Allah, bertemu kerana-Nya dan berpisah pula kerana-Nya. (al-Bukhari)

Telah berlangsung sebuah majlis perpisahan untuk salah seorang tenaga pengajar yang menjadi tulang belakang ILMU sejak dari awal penubuhannya, Ustaz Amin Hafizuddin bin Zahari yang akan melanjutkan pelajarannya di Universiti Islam Madinah dan Majlis Penutup Kem Hafazan al-Quran Karantina yang menyaksikan pulangnya Ustaz Usman Nur Hadi, wakil Program Karantina-ILMU 2019 ke tanah kelahirannya, Surabaya.

Majlis yang dipengerusikan oleh Ustaz Abdul Hadi bin Ayob dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Penolong Kanan ILMU, Puan Hajah Rosnani binti Hamid, kemudian diikuti oleh ucapan dan taujihad oleh Ustaz Usman dan Ustaz Amin.

Meskipun hanya bertemu dalam suatu tempoh yang singkat, namun pemergian mereka amat dirasai oleh seluruh warga ILMU, lebih-lebih lagi anak didik mereka.

Walaupun telah membuat keputusan sejak beberapa bulan lepas, namun Ustaz Amin tidak pernah melepaskan tanggungjawabnya sebagai seorang guru di ILMU dan terus menjalankan tugasnya seperti biasa sehingga ke hari terakhir. Sejak mula bertugas secara rasmi pada 1 Februari 2019, Ustaz Amin telah bertugas dengan komited sebagai guru al-Quran, warden asrama dan guru bagi subjek Biologi dan Pendidikan Islam selain daripada tugas-tugas sampingan yang lain. Kerana itulah pemergiannya diiringi dengan air mata para pelajarnya yang masih dahagakan panduan dan tunjuk ajar seorang guru.

Namun bukanlah bermakna warga ILMU tidak merelakan pemergian Ustaz Amin. Hal ini kerana mereka faham akan adat dan pengorbanan yang perlu dilalui oleh semua manusia yang bergelar penuntut ilmu. Semoga dengan pertemuan dan perpisahan ini akan membawa kepada manfaat yang lebih besar untuk ummat Islam. Dalam ucapannya, Ustaz Amin sempat berkongsi pengalaman dan perjalanannya sebagai salah seorang penghafaz al-Quran.

Turut diraikan ialah Ustaz Usman yang mewakili organisasi Hafazan Karantina. Meskipun hanya berjumpa dalam tempoh tiga minggu sahaja, Ustaz Usman sangat berdedikasi dalam melaksanakan tugasnya di sini. Ustaz Usman juga sempat menyampaikan wasiat dan pesanan terakhir untuk anak-anak ILMU bagi menghadapi cabaran sebagai Hamalatul Quran (pembawa al-Quran).

Untuk Ustaz Amin dan Ustaz Usman, warga ILMU mengucapkan jutaan terima kasih atas jasa dan pengorbanan kalian. Semoga Allah membalas jasa baik kalian dan terus merahmati kalian walau di mana pun kalian berada. Siiru 'ala barakatillah.

Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page